Buta tidak semestinya buta mata
Ketika saya menulis tentang orang yang buta dan pekak serta bisu di dalam tulisan saya yang lalu, saya tidak maksudkan orang yang buta mata pekak telinga dan bisu lidah mereka secara fizikal. Orang cacat penglihatan dan pendengaran, dan orang yang bisu lidahnya tidak semestinya cacat akhlak dan moralnya, atau cacat ilmu dan pengetahuannya.
Maka dalam konteks inilah saya menulis di dalam ruangan ini yang lepas bahawa orang Islam dan masyarakat Islam sering menjadi orang bisu dan pekak ketika berhadapan dengan cabaran-cabaran semasa dan tindakan yang dilakukan musuh Islam kepada mereka. Sebabnya ialah orang Islam tidak mampu untuk bangun menentang segala cabaran dan serangan itu sepadan dengan apa yang dilakukan kepada mereka, kerana mereka tidak mempunyai kekuatan fizikal dan ekonomi yang cukup, dan tidak mempunyai ilmu pengetahuan dan teknologi yang tinggi untuk menentang permusuhan itu.
Mereka pada ketika itu adalah seperti orang yang melihat dan mendengar, tetapi tidak dapat melihat dengan mata hati mereka yang sebenarnya, dan tidak dapat mendengar dengan telinga yang penuh iktibar dan pengajaran. Mereka menjadi seperti orang yang boleh berkata-kata, tetapi lidahnya menjadi kelu dan bisu, kerana terlalu besar dugaan dan bebanan yang menimpa pundak dan kepala mereka. Mereka membisu seribu bahasa kerana gerun dan takut terhadap kekuatan musuh yang begitu raksasa.
Orang yang berada dalam keadaan ini sering tidak mahu mengakui hakikat dan kedudukan mereka yang sebenarnya, samalah seperti orang yang menentang mesej dan ajaran yang dibawakan oleh Rasulullah s.a.w untuk mengesakan kebesaran Allah s.w.t dan mengagungkan-Nya. Mereka menentang kebenaran yang dibawakan oleh baginda semata-mata kerana fanatik dan sikap menentang yang melulu.
Golongan inilah yang disifatkan Allah s.w.t sebagai orang yang mempunyai hati, tetapi tidak dapat berfikir dengannya, mempunyai telinga, tetapi tidak dapat mendengar, mempunyai mata, tetapi tidak dapat melihat. Mereka itu disifatkan oleh Allah s.w.t seperti haiwan, malah lebih sesat lagi daripada haiwan.
Atas dasar inilah juga Allah s.w.t menyeru manusia supaya sering meninjau rahsia dan kejadian Allah s.w.t di atas muka bumi yang luas ini. Lihat dan kajilah sejarah dan tamadun manusia, peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada umat-umat yang lalu, termasuklah pembangunan dan kemajuan yang berlaku di dalam masyarakat manusia umumnya, iaitu untuk melihat kemajuan orang yang berusaha, yang berjuang dengan bersungguh-sungguh, dan yang telah membangun dengan baik. Tujuannya ialah untuk mengambil iktibar dan mempertingkatkan pemikiran dan ilmu pengetahuan, supaya manusia itu benar-benar dapat mencari kebenaran Allah s.w.t dan membina kekuatan mereka dalam menegakkan maruah dan nama baik agamanya sendiri.
Buta tidak semestinya buta mata
Inilah agenda yang sepatutnya digubal dan dilaksanakan oleh orang Islam pada hari ini, iaitu melihat bagaimana bangsa-bangsa yang telah mencapai kemajuan dan kekuatan dalam segala aspek kehidupan mereka, agar semuanya itu dapat menjadi pelajaran yang baik bagi umat Islam mempertingkatkan pencapaian hidup mereka dan berusaha mencapai kemajuan yang sama seperti umat yang lain.
Inilah maksud keterangan Allah s.w.t di dalam al-Quran yang menyeru manusia supaya berjalan dan mengembaralah di atas muka bumi, supaya dengan itu diharapkan mereka akan dapat memupuk hati mereka atau akal mereka untuk berfikir, kerana seringkali mata mereka itu tidak buta, yang buta ialah hati mereka.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa manusia semestinyalah menggunakan akal fikiran, pendengaran dan penglihatan mereka untuk meningkatkan pemikiran dan ilmu pengetahuan mereka, termasuk mengkaji dan menganalisis segala sesuatu yang berlaku di atas muka bumi ini.
Buta tidak semestinya buta mata
Permusuhan yang berlaku ke atas umat Islam, penjajahan akal dan mental yang berleluasa di dalam minda umat Islam, serangan yang dilakukan kepada umat Islam dengan cara merampas tanah air dan menceroboh maruah dan kehormatan mereka, termasuk apa yang berlaku kepada umat Islam selepas 11 September yang lalu, semuanya ini seharusnya dapat membuka ufuk pemikiran dan pandangan umat Islam pada hari ini, apakah kita akan masih bertelagah sesama sendiri tanpa alasan dan sebab yang kukuh dan wajar? Atau akan terus menerus membicarakan isu remeh-temeh dan sempit sehingga melupakan kita kepada isu yang lebih besar yang sedang kita hadapi pada hari ini? Apakah isu dosa pahala, dan syurga neraka yang telah amat jelas diterangkan di dalam agama kita akan terus kita politikkan dengan penuh sensasi dan sinikal?
Inilah sebenarnya yang saya maksudkan bahawa kita umat Islam sering menjadi umat yang bisu dan pekak, umat yang buta mata hati dan pemikirannya. Tetapi kebanyakan kita masih tidak menyedarinya, atau sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga seperti yang berlaku kepada Mat Jenin dan Lebai Malang dalam legenda cerita-cerita kita dulu, sedangkan menurut tradisi ilmu kita, maka kita seharusnya mengakui kelemahan dan kebatilan kita, dan kembali kepada kebenaran.
Atas pengertian inilah saya menuntut maaf kepada pihak persatuan yang mewakili saudara-saudara kita golongan cacat penglihatan dan pendengaran, serta cacat pertuturan, yang telah menyatakan rasa kesal mereka kepada saya kerana menyentuh golongan tersebut di dalam tulisan saya yang lalu.
semoga artikel tentang Buta tidak semestinya buta mata ini bermanfaat. Amien